FATIN Nur Nadia menghilangkan diri sejak 10 Jun lalu. FOTO ihsan keluarga
FATIN Nur Nadia menghilangkan diri sejak 10 Jun lalu. FOTO ihsan keluarga
Mary Victoria Dass


“SAYA berhutang dengan kenalan semata-mata untuk membelikan telefon bimbit buat Fatin beberapa hari sebelum hari raya bagi memenuhi kehendaknya,” kata pengawal keselamatan, Norizan Bidin, 49, dari Bandar Seri Alam, Masai, Pasir Gudang.

Norizan berkata, dia masih gagal mengesan anak gadisnya, Fatin Nur Nadia, 16, yang juga anak kedua daripada enam beradik selepas menghilangkan diri dari rumah di Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, 5 petang, 10 Jun lalu.

Katanya, kini genap seminggu keluarganya berusaha mengesan Fatin termasuk di kawasan sekitar Pasir Gudang, Gelang Patah dan Melaka hasil maklumat orang ramai selepas hebahan dilakukan di laman sosial Facebook (FB).

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan sekali gus mengakibatkan kehidupan mereka sekeluarga tidak tenteram.

“Sudah hampir seminggu saya hanya tidur-tidur ayam kerana apabila dihubungi individu yang memberi maklumat berkaitan Fatin saya terus keluar mencarinya tanpa mengira dekat atau jauh.

“Bagaimanapun, sehingga kini semua maklumat diberikan kurang tepat namun saya masih tidak berputus asa kerana tanpa Fatin, saya dan ahli keluarga merasakan kekurangan.

“Sebelum meninggalkan rumah, dia tidak pernah bercerita masalah dialaminya, apabila dia menghilangkan diri secara tiba-tiba saya amat tertekan serta keliru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norizan berkata, sehingga kini dia tidak mengetahui punca Fatin menghilangkan diri dan berharap anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

“Kami memang orang susah dan saya tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap untuk anak-anak namun saya menyayangi semuanya termasuk Fatin.

“Biarpun kesempitan wang, saya sanggup berhutang dengan kenalan semata-mata bagi memenuhi kehendaknya kerana saya sedar dia juga mempunyai keinginan seperti remaja lain.

“Dia masih di bawah tanggungjawab saya dan isteri, apa juga perbuatan atau langkah diambil, kami perlu jawab di akhirat nanti,” katanya.

Katanya, dia amat berharap orang ramai membantu mengesan anaknya itu demi masa depan gadis berkenaan.

“Saya tidak mahu dia keciciran sekolah dan apa-apa kejadian tidak diingini menimpanya. Kami bersedia memaafkannya dan hanya berharap Fatin menghubungi saya secepat mungkin.

“Kami berharap Allah membuka matanya dan menunjukkan jalan yang benar demi kebaikannya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Fatin diminta menghubungi Norizan di talian 013 2924174.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 1:35 PM