PASANGAN pengantin menaiki beca sambil diiringi 20 basikal tua. FOTO Amran Yahya


JURUTOL, Siti Nor Ain Mohd Nasir, 25 dan pasangannya, Nor Iqram Mohammad Abdul Samad, 30, diarak 20 pengayuh basikal tua dalam majlis perkahwinan mereka di Taman Ulu Bendul, Kuala Pilah, semalam.

Siti Nor Ain berkata, kelainan itu dilakukan pada hari bahagia mereka berikutan minat terhadap basikal tua sejak kecil.

Wanita itu berkata, bapanya, Mohd Nasir Abdul Wahab, 58, adalah pencinta basikal tua yang memiliki lebih 10 basikal klasik.

“Disebabkan saya dan bapa berkongsi minat sama, kami mahu melakar kelainan dalam majlis perkahwinan saya. Hasil perbincangan bersama keluarga, bapa mahukan saya dan suami menaiki beca sambil diarak oleh 20 pengayuh basikal tua,” katanya.

Dia yang bekerja di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Ampangan, Seremban, berkata bapanya ahli Kelab Basikal Tua Seghomban (KBTS) yang mengikuti kayuhan 120 kilometer dari Kuala Pilah ke Klang, Selangor, pada 27 Oktober tahun lalu.

“Kerana minat terhadap aktiviti ini, bapa mahu berkongsi kegembiraan dengan mengundang pencinta basikal tua dari Negeri Sembilan dan Melaka bagi memeriahkan majlis persandingan saya,” katanya.

Katanya, dalam majlis itu dia dan suami diarak sejauh 300 meter dari surau Taman Ulu Bendul ke rumahnya diiringi paluan kompang dan makan beradab.

Pasangan terbabit diijab kabul pada 12 Jun lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah manakala majlis meraikan kedua mempelai dilangsungkan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 2:02 PM