PENUNGGANG dirawat selepas motosikal ditunggangi bergesel kereta sebelum terjatuh di Jalan Iskandar, Klang. FOTO IHSAN PEMBACA
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SEORANG lelaki kritikal selepas motosikal ditunggangi bergesel kereta sebelum terjatuh di Jalan Iskandar menghala ke Jalan Meru Tambahan, Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, Mohd Azwan Ahmad, 35, parah akibat pendarahan di kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Proton Waja mahu membelok ke kanan untuk ke kedai makan.

Menurutnya, mangsa yang berada di laluan sama dari Bukit Kapar dikatakan cuba memotong kereta berkenaan dan bergesel sebelum terjatuh.

“Pemandu kereta mendakwa sudah memberi isyarat membelok ke kanan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, mangsa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas menjalani pembedahan selama tujuh jam akibat kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 2:38 PM