PENUNGGANG motosikal warga Singapura maut selepas terbabit kemalangan dengan van di Kilometer 6.6 Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, Iskandar Puteri, hari ini. FOTO ihsan polis.
Nurul Amanina Suhaini


PENUNGGANG motosikal warga Singapura maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 6.6 Jalan Gelang Patah - Ulu Choh, Iskandar Puteri, 9 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa Liaw Ziang E, 43, putus di kepala dan tercampak ke tengah jalan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan maut membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah van Toyota Hiace dan sebuah motosikal BMW.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah van yang bergerak dari Ulu Choh menghala ke Gelang Patah dipercayai membelok ke simpang kanan sebelum dirempuh motosikal ditunggang mangsa yang bergerak dari arah Gelang Patah menghala ke Ulu Choh.

“Ekoran kemalangan itu kepala mangsa putus dan tercampak ke tengah jalan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, pemandu van yang juga lelaki tempatan berusia 28 tahun tidak cedera.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa melanggar bahagian belakang kiri van dan mangsa mati di tempat kejadian.

“Polis menahan pemandu van itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 3:13 PM