Gambar hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS menahan 10 lelaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, 3.15 pagi semalam.

Semua suspek berusia antara 15 hingga 37 tahun ditahan selepas memukul seorang lelaki berusia 34 tahun akibat perselisihan faham ketika berhibur di premis berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku apabila pengadu yang berhibur bersama rakannya di pusat hiburan berkenaan terlanggar bahu seorang pengunjung.

Katanya, kerana tidak berpuas hati, suspek memukul mangsa dan membawanya keluar dari pusat hiburan berkenaan.

“Sebaik berada di luar pusat hiburan itu, suspek bersama sembilan lagi rakannya memukul mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis, susulan itu sepasukan anggota berjaya menahan 10 suspek yang terbabit dalam kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan polis akan memohon reman terhadap semua suspek untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 5:28 PM