ARWAH Nur Fatin Umairah ketika memilih basikal di kedai basikal sebelum terbabit dalam kemalangan.
Hassan Omar

SELEPAS hampir 120 jam bertarung nyawa, Nur Fatin Umairah Samsuli, 9, yang terbabit dalam kemalangan di Masjid Tanah, Alor Gajah Isnin lalu, meninggal dunia.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat pendarahan dalam kepala, 2.15 petang semalam.

Bapanya, Samsuli Sahal, 50, berkata, seluruh keluarga termasuk isteri, Siti Khadijah Harun, 47, diselubungi kesedihan apabila mengenangkan arwah tidak sempat mengayuh basikal yang dibeli beberapa jam sebelum kejadian itu.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dan berdoa arwah ditempatkan di syurga,” katanya ketika dihubungi di Alor Gajah, hari ini.

Jenazah dibawa dari Hospital Melaka ke Kampung Bukit Tembok, Pasir Panjang di Port Dickson sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tembok kira-kira 9 malam tadi.

Arwah sebelum ini dirawat di ICU berkenaan, selepas dipindahkan dari Hospital Alor Gajah.

Dalam kejadian 3.30 petang, 10 Jun lalu, kenderaan pacuan empat roda dipandu Samsuli, berada di belakang lori yang berhenti ketika lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Masjid Tanah-Kampung Jeram.

Bagaimanapun, lori dipandu lelaki berusia 60 tahun yang dipercayai mengalami masalah brek mengundur dan menghentam kenderaan di belakangnya.

Akibat itu, kenderaan pacuam empat roda diseret kira-kira lima meter ke dalam longkang hingga menyebabkan arwah parah manakala Samsuli dan yang lain cedera.

Berita berkaitan:

  • Panik dirempuh lori mengundur
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 5:45 PM