MAYAT Muhammad Dani ditemui pasukan penyelamat tersangkut di celah batu di dasar sungai kira-kira 10 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki lemas di Sungai Manjung berhampiran Desa Manjung Point II, Seri Manjung di Manjung, hari ini, akibat terjatuh ketika memancing di kawasan sungai itu.

Mayat Muhammad Dani Irfan Abu Bakar, 15, ditemui pasukan penyelamat pada 8.42 malam tadi tersangkut di celah batu di dasar sungai kira-kira 10 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.

Mangsa datang ke sungai berkenaan untuk memancing bersama tiga rakannya sebelum selipar remaja itu terjatuh dan ketika cuba mengambilnya, mangsa dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 2.35 petang.

Menurutnya, sebaik menyedari mangsa terjatuh ke dalam sungai seorang rakannya cuba membantu namun tidak berjaya sebelum mereka menghubungi bomba untuk bantuan lanjut.

“Bomba yang tiba di lokasi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan air sebelum menerima bantuan daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor dan agensi lain.

“Mangsa kemudian berjaya ditemui di celah batu di sungai berkenaan pada 8.42 malam kira-kira 10 meter dari tempat dia dikatakan terjatuh,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan seramai 18 anggota bomba termasuk PPDA Pulau Pangkor, empat penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 13 anggota polis.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada 9.30 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 11:43 PM