Gambar Hiasan
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


POLIS menahan tujuh lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan di kawasan perumahan Flat Paya Nahu di Sungai Petani, petang hari ini.

Pergaduhan tercetus selepas sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dilanggar dua lelaki yang menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 5 petang tadi berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati berlaku satu kemalangan jalan raya membabitkan motosikal yang dinaiki dua lelaki dengan pejalan kaki iaitu kanak-kanak berusia lapan tahun.

“Akibat tidak berpuas hati dengan kemalangan itu, pembonceng motosikal terbabit dipukul dan motosikal berkenaan dirosakkan di bahagian belakang dengan menggunakan kayu dan besi oleh beberapa lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada masa yang sama, seorang lelaki yang sedang mengundur keretanya untuk membawa kanak-kanak perempuan berkenaan ke hospital hampir melanggar dua kanak-kanak lelaki lain pula.

Menurutnya, insiden itu sekali lagi menimbulkan kemarahan beberapa individu di lokasi kejadian menyebabkan berlaku pergaduhan.

“Berikutan kekecohan yang berlaku, seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di belakang kepala akibat dipukul menggunakan kayu yang disyaki mempunyai paku.

“Manakala, kanak-kanak perempuan yang dilanggar mengalami luka di bahagian kaki kanan dan siku kanan akibat kemalangan,” katanya.

Adzli berkata, semua suspek berusia 14 hingga 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek yang ditahan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan tertentu, bagaimanapun dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah termasuk dikehendaki bagi jenayah sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148/324 Kanun Keseksaan kerana membawa senjata ketika merusuh dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 12:09 AM