SAIFUDDIN pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PKR Sabah, Kota Kinabalu.
Mohd Izham Unnip Abdullah


SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menafikan dakwaan bahawa ibu pejabat parti itu terbabit dalam memberikan data atau maklumat berhubung nombor telefon pemimpin di peringkat cabang.

Beliau berkata, dakwaan itu seperti disebut Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adalah tidak berasas selain menjelaskan bahawa bukan kerja pentadbiran PKR untuk menyebarkan maklumat parti kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya data berhubung alamat atau nombor telefon pemimpin PKR sama ada di peringkat cabang, negeri atau Pusat bukan sesuatu yang rahsia untuk diperoleh jika pihak yang mengkehendakinya menghubungi individu atau mereka yang terbabit.

“Saya sebagai Setiasusaha Agung ditanya bagaimana data parti bocor, tapi saya nak jelaskan bahawa data telefon dan alamat pimpinan parti dari peringkat cabang dan pusat sebenarnya bukanlah sukar diperoleh, malah pada pemilihan parti lalu, apabila bertanding data asas seperti itu adalah syaratnya.

“Jadi ia bukan satu yang rahsia untuk tidak dimiliki mana-mana pihak. Sebagai ketua pentadbiran parti, bukan jadi kerja kakitangan saya untuk menghebah maklumat parti kepada mana-mana pihak tapi itu boleh saja diperoleh jika ada pihak berkehendakkannya dengan cara menghubungi individu dan mereka yang terbabit.

“Tapi apabila disebut ini semacam ada pembabitan atau langkah tersusun ibu pejabat parti untuk terbabit tetapi itu tidak berlaku sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan tertutup dengan pemimpin dan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Sabah yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Christina Liew, di sini, semalam.

Anwar terus meninggalkan majlis dan menyerahkan kepada Saifuddin untuk bercakap kepada media.

Ditanya sama ada ibu pejabat parti akan menyiasat kes video berkenaan berikutan gesaan Azmin, Saifuddin berkata, pihaknya kekal dengan keputusan mesyuarat Biro Politik parti sebelum ini yang menyerahkan siasatan itu kepada polis.

“Keputusan Biro Politik sebelum ini, sementara kita menolak politik jijik dan kita minta Azmin bersabar dan tabah, kita juga sebut memandangkan masing-masing pihak sudah membuat laporan polis, adalah lebih baik pihak berkuasa teruskan siasatan supaya biar ada kejelasan,” katanya.

itu keutamaan parti sekarang,” katanya.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pagi tadi menggesa Lembaga Disiplin PKR menyiasat dalang yang mewujudkan kumpulan WhatsApp semata-mata untuk menyebarkan beberapa rakaman video lucah terbabit.

Katanya, lembaga disiplin parti perlu membuat keputusan yang berani untuk parti dalam isu penyebaran video itu jika mahu memastikan PKR terus relevan dan diterima rakyat.

Beliau turut menggesa pucuk pimpinan parti supaya lebih bertegas untuk menyiasat kes berkenaan memandangkan Haziq Abdullah individu yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah yang dikaitkan dengan dirinya mendapat sokongan segelintir pemimpin dan ahli parti.

Azmin juga mempersoalkan penyebaran maklumat nombor telefon ketua cabang dan pegawai rendah cabang berdasarkan nombor telefon dalam kumpulan Whatsapp yang digunakan bagi menyebarkan video terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:20 AM