PROTON Persona yang berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Perdana di Pagoh, Muar. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI maut akibat tersepit selepas Proton Persona dipandunya terbabit kemalangan dengan lori lima tan dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Perdana di Pagoh, Muar, hari ini.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu berlaku ketika kenderaan dipandu mangsa, Harith Iskandar Mohd Din, 31, dalam perjalanan dari Muar ke Pagoh dan berlanggar dengan lori dari arah bertentangan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Izwani Abdul Hamid berkata, seramai 15 anggota bomba termasuk bantuan tujuh anggota BBP Bukit Gambir dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 7.04 pagi.

Katanya, setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian terdapat kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan sekolah.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah lori lima tan tanpa muatan dan sebuah kereta jenis Proton Persona yang mana pemandunya tersepit dan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba yang turut dibantu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang beralamat di Sri Menanti, Sengkang, Bukit Gambir, Muar diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan kemalangan membabitkan dua kenderaan itu pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 11:17 AM