MOTOSIKAL YAMAHA 125ZR yang dilarikan penjenayah yang menyamar sebagai pembeli di Plaza Tol Sungai Buloh, malam tadi. FOTO Ihsan Mangsa
Nurul Hidayah Bahaudin


NIAT seorang lelaki mahu menjual motosikalnya terbantut apabila kenderaan itu dilarikan penjenayah yang menyamar sebagai pembeli di Plaza Tol Sungai Buloh, Sungai Buloh, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Zuhaili Ahmad Zarudin, 19, berkata, dia memuat naik status di Facebook memaklumkan mahu menjual motosikal Yamaha 125ZR miliknya dengan harga RM7,500, kelmarin.

“Saya dihubungi lelaki yang memaklumkan mahu membeli motosikal itu petang semalam sebelum bersetuju berjumpa dengannya di Plaza Tol Sungai Buloh pada 9 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, lelaki itu belum sampai sebelum saya menghubunginya. Dia kemudian tiba kira-kira lima minit dengan menaiki kereta Perodua Myvi bersendirian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Zulhaili berkata, selepas beberapa minit perbincangan, lelaki itu memberitahu mahu pandu uji motosikal berkenaan di kawasan berhampiran plaza tol terbabit sebelum membuat keputusan sama ada mahu membeli atau sebaliknya.

“Dia memberitahu mahu pandu uji dekat saja. Malah, dia meninggalkan kereta dan kunci kereta Perodua Myvi dinaikinya sebagai jaminan menyebabkan saya berani menyerahkan kunci motosikal berkenaan.

“Pada mulanya dia dilihat menunggang motosikal itu di kawasan berhampiran, namun lelaki itu tiba-tiba masuk ke susur menuju ke Sungai Buloh. Selepas 30 minit menunggu, saya menghubunginya, namun panggilan tidak diangkat sebelum telefon bimbitnya dimatikan,” katanya.

Katanya, dia membawa kereta dinaiki lelaki terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk membuat laporan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kereta terbabit adalah kenderaan curi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha memburu suspek yang sudah dikenal pasti itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 1:33 PM