PENGARAH Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali turut hadir di Bilik Forensik, HRPZ II ketika Rosli a/l Jong, 30 mengiringi jenazah anaknya, Nasri Rosli, 3, yang meninggal dunia petang semalam dipercayai akibat dijangkiti radang paru-paru sejak sembilan hari lalu untuk dibedahsiasat di Hospital Gua Musang sebelum dikebumikan di perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“SAYA reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik dan mayatnya akan dibawa ke Kampung Kuala Koh, Gua Musang untuk dikebumikan.

“Walaupun sedih dengan pemergian anak, namun saya perlu kuat untuk meneruskan hidup demi empat anak yang lain,” kata Rosli Jong, 30, bapa kepada kanak-kanak Orang Asli suku Batek, Nasri Rosli, 3, yang meninggal dunia pada 6.45 petang semalam.

Kanak-kanak lelaki itu sebelum ini dirawat selama lapan hari di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu akan dikebumikan selepas proses bedah siasat selesai.


JENAZAH Nasri Rosli, 3, yang meninggal dunia petang semalam dipercayai akibat dijangkiti radang paru-paru sejak sembilan hari lalu telah dibawa keluar dari Bilik Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedahsiasat di Hospital Gua Musang sebelum dikebumikan di perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang. FOTO Zaman Huri Isa

Rosli berharap tragedi yang menimpa penduduk kampung itu akan selesai secepat mungkin.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, 112 penduduk Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh menghidap penyakit yang belum diketahui punca.

Penyakit itu juga menyebabkan 14 kematian dalam tempoh sebulan dan dua daripadanya dilaporkan menghidap penyakit radang paru-paru.

Sementara itu, Pengarah HRPZII, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu akan diadakan di Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.

Katanya, mayat kanak-kanak berkenaan dibawa dari HRPZ II ke HGM dengan menaiki van jenazah dan diiringi bapa mangsa.

“Bedah siasat akan dijalankan di HGM oleh pasukan pakar forensik yang ada di sana,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 2:19 PM