ICQS di Bukit Kayu Hitam yang akan memulakan operasi 24 jam pada 18 Jun ini. FOTO Amran Hamid
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


MALAYSIA dan Thailand bersetuju memulakan operasi 24 jam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao bermula 12.01 tengah malam ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan, pelaburan dan aliran perdagangan antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, operasi 24 jam itu akan dijalankan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan yang hanya membabitkan pergerakan kargo dan barang dibawa menggunakan trak dan kenderaan berat.

“Permulaan operasi 24 jam ini akan ditandakan dengan majlis pelancaran yang akan diadakan lewat malam ini - awal pagi 18 Jun.

“Majlis ini akan dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Penasihat kepada Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anamarn,” katanya, hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, majlis itu juga akan dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Gabenor Wilayah Songkhla, Weranaan Pengjun selain pegawai kanan daripada persekutuan dan negeri.

Selain itu, katanya, kerajaan Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk menubuhkan pasukan penilaian dalam mengukur keberkesanan operasi 24 jam sepanjang tempoh percubaan selama tiga bulan.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, Malaysia dan Thailand mempunyai kerjasama dua hala yang kukuh dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan.

“Thailand adalah rakan dagangan kelima terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pada tahun lalu ialah RM105.36 bilion, dengan perdagangan sempadan saja menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada jumlah perdagangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 4:04 PM