JURUGAMBAR merakam gambar dari dekat kapal terbang mendarat dan berlepas di Anjung Spotter KLIA yang dilancar, hari ini. FOTO Bernama
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


ANJUNG tinjau pesawat pertama dibina Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, setaraf dengan kemudahan sama di Frankfurt, Jerman dan Perth, Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pembinaan anjung tinjau itu bertujuan mengubah lapangan terbang itu dan persekitarannya menjadi destinasi menarik.

Katanya, anjung dinamakan Anjung Spotter itu mula dibina pada Mac lalu dan siap dalam tempoh sebulan dengan kos RM300,000.

“Anjung tinjau yang dibina di luar perimeter lapangan terbang, bersebelahan satu daripada tiga landasan KLIA itu memberi peluang kepada orang ramai menikmati pemandangan saat pesawat berlepas dan mendarat di landasan,” katanya selepas merasmikan Anjung Spotter di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MAHB, Tan Sri Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

Anjung Spotter yang terletak di Jalan Pekeliling di Runway 32L dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam yang mana pengunjung boleh melihat secara dekat pesawat berlepas dan mendarat.

Selain kemudahan kawasan berbumbung, anjung tinjau itu dilengkapi kerusi yang boleh memuatkan 40 pengunjung dalam satu masa.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, anjung tinjau pesawat itu adalah komitmen syarikat dalam meningkatkan pengalaman di lapangan terbang dan dijadikan sebagai tarikan pelancong.

“Anjung tinjau itu juga akan dijadikan lokasi kepada pengesan pesawat serta penggemar penerbangan bagi membolehkan mereka merakam gambar menarik untuk dijadikan sebagai koleksi dan hobi.

“Sekiranya diperlukan, MAHB akan mengadakan kajian membina anjung tinjau di lapangan terbang lain pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:41 PM