GOBIND ketika ditemui selepas majlis perasmian Makmal Digital Dell di Cyberjaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail


MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menegaskan, sebarang hasil siasatan isu video lucah yang mengaitkan seorang menteri hanya akan diumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, pihak kementeriannya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana siasatan di bawah bidang kuasa PDRM.

“Saya tidak akan ulas berkenaan perkara itu kerana ia dalam proses siasatan polis, jadi biar pihak polis yang buat pengumuman sekiranya ada.

“Saya rasa itu adalah bidang kuasa pihak yang menyiasat perkara ini buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Digital Dell di Cyberjaya, hari ini.

Susulan penyebaran video itu baru-baru ini, Jawatankuasa Jenayah Siber disertai PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dipertanggungjawabkan melakukan siasatan penyebaran kes video dikaitkan dengan seorang menteri.

SKMM akan membantu dari aspek teknikal bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:06 PM