Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

LELAKI yang ditahan selepas kereta dipandunya merempuh gerai nasi lemak dan kuih-muih sehingga menyebabkan peniaga maut manakala suaminya parah di Jalan Bertam Indah, Kepala Batas semalam direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk berusia 31 tahun itu direman untuk membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan.

“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes lelaki yang bekerja sebagai tukang besi itu dan selepas ini akan menghantar kertas siasatan itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Katanya, ujian air kencing mendapati pemandu kereta itu positif dadah jenis ganja dan tiada lesen memandu sementara kenderaan yang digunakannya tiada cukai jalan.

Dia kini disiasat menurut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Peniaga Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia 12 tengah hari semalam ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas dilanggar kenderaan itu.

Dalam kejadian 10 pagi itu suaminya, Mat Subri Saad, 44, parah di kepala serta tangan dan kini dirawat di hospital sama.

Dalam kes lain, Noorzainy berkata, penuntut lelaki sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerugian RM18,983 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, mangsa berusia 20 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan yang diterimanya menerusi aplikasi Whatsapp 4 Jun lalu daripada individu tidak dikenali sebelum menghubungi nombor telefon yang diberikan.

“Dalam perbualan telefon itu mangsa diperdaya individu berkenaan yang mendakwa dirinya ejen syarikat pelaburan dan meminta mangsa memasukkan wang RM500 ke akaun yang diberikan,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya diminta memasukkan lagi sejumlah wang yang lebih besar supaya dapat memperoleh keuntungan lebih lumayan sehingga mangsa terpedaya dan melakukan 10 lagi pemindahan dengan wang keseluruhan RM18,983 di Mak Mandin dan Butterworth sebelum menyedari ditipu.

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan siasatan mendapati wang yang dimasukkan ke dalam akaun suspek itu dipinjam daripada bapanya yang mendapat wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita berkaitan

Pemandu mengaku mabuk [METROTV]

Ajal dirempuh pemandu khayal [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:10 PM