Keputusan menaikkan harga simen perlu rujuk kementerian dulu. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Keputusan menaikkan harga simen perlu rujuk kementerian dulu. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan sebarang keputusan menaikkan harga simen perlu dirujuk dan mendapat kelulusan kementerian terlebih dulu.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu adalah seperti yang dinyatakan “Syarat-syarat Khas bagi Pemborong Simen” di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan bukan keputusan mutlak syarikat pengeluar simen berkenaan.

“Kementerian mengambil maklum sumber berita yang melaporkan bahawa harga simen akan mengalami kenaikan harga secara mendadak.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada isu harga serta sekretariat kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang memantau isu kos sara hidup rakyat, beberapa tindakan segera dikeluarkan berhubung isu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP akan segera mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada 19 kilang pengeluar simen seluruh negara.

Saifuddin berkata, notis itu dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat yang terbabit berkenaan punca kenaikan harga simen yang mana ia harus dijawab dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan.

Menurutnya, kegagalan menjawab dalam tempoh masa itu akan mengundang tindakan undang-undang di bawah akta sama.

“KPDNHEP setakat ini belum menerima makluman rasmi daripada syarikat pengeluar simen berkenaan isu ini dan sudah mengarahkan agar mereka segera berbuat demikian.

“Kerajaan menyeru sebarang pengumuman yang bersifat sensitif seperti ini dibincangkan dan dirujuk bersama terlebih dulu agar kepentingan rakyat dan pihak terbabit akan dilindungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:26 PM