Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor menahan 15 individu disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran dalam operasi Ops Pintas Selatan bermula 13 Mei lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, semua suspek yang juga warga tempatan dan Indonesia itu berusia antara 23 hingga 65 tahun.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan empat daripadanya tekong darat, empat penjaga rumah penampungan dan empat penjaga air serta tiga pemandu kenderaan.

“Dalam isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kita tahu mereka keluar masuk Malaysia untuk raya dan bercuti, kita memang jangka Johor akan terima kemasukan PATI yang banyak terutama di sepanjang 516 kilometer sempadan perairan negara di Johor ini.

“Kita ambil langkah dan strategi baharu iaitu daripada tahan PATI, kita cari mereka yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti haram membawa masuk PATI ini.

“Ops Pintas Selatan dijalankan bermula 13 Mei hingga hari ini adalah untuk mengesan dan menangkap individu menjalankan aktiviti penyeludupan migran,” katanya pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, semua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12 dan 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, dengan tertangkapnya individu berkenaan, ia sekurang-kurangnya berjaya menyekat aktiviti haram terbabit daripada terus berlaku.

“Polis Johor tidak akan bersekongkol dengan sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan berazam supaya negeri ini bebas daripada kegiatan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 24 sekatan jalan raya dilancarkan seluruh Johor dan memeriksa 700 kenderaan serta 1,074 individu pelbagai peringkat umur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 10:01 PM
MOHD Khalil (tengah) pada sidang media di IPK Johor di Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Skip this ad x