Sebahagian rumah penduduk Kampung Haji Ali yang rosak teruk selepas dilanda ribut. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


TUJUH belas rumah mengalami kerosakan selepas ribut dan hujan lebat melanda Kampung Haji Ali, Temerloh hari ini.

Lima daripada kediaman itu mengalami kerosakan teruk dalam kejadian 5 petang itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh, Kapten (PA) Nurul Ashikin Mohd Anuar berkata, pihaknya mengaktifkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di surau Kampung Haji Ali bagi menempatkan pemilik kediaman yang terjejas dalam kejadian itu.

“Pemeriksaan lanjut sudah dijalankan di semua kediaman yang terbabit dalam insiden itu dan kita juga menasihatkan pemilik kediaman membuat laporan polis bagi memudahkan urusan lain selepas ini.

“Selain pegawai dan anggota APM, kerja memindahkan penduduk terjejas ke PPS dan pemantauan keselamatan lain turut membabitkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh masih dalam proses mengenalpasti jumlah sebenar kediaman penduduk yang terbabit dalam kejadian itu.

“Buat masa ini, kita hanya merekodkan 17 kes (kediaman) yang terbabit berikutan ribut dan hujan lebat petang tadi, jumlahnya mungkin meningkat kerana kami turut menerima maklumat kejadian sama berlaku di beberapa lokasi lain di daerah ini,” katanya.

Difahamkan, antara kampung lain yang dilanda ribut serta hujan lebat ialah Kampung Paya Luas, Kampung Batu Satu Setengah, Taman Temerloh Jaya 6, Kampung Paya Kecil, Kampung Tanjung Lalang dan Kampung Paya Dalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 11:14 PM