Mulai 1 Julai ini tiada lagi straw di Selangor. FOTO Sairien Nafis
Siraj Mohd Zaini


LANGKAH Kerajaan Selangor tidak membenarkan pemberian penyedut minuman plastik secara terbuka mulai bulan depan menerima maklum balas positif khususnya daripada pengusaha restoran dan premis makanan.

Pemilik restoran Nasi Kak Wok TTDI Jaya, Rosliza Junoh berkata, dia mengalu-alukan terhadap usaha kerajaan bagi mengurangkan penggunaan plastik dalam kalangan pengguna di negara ini.

“Saya akan patuh terhadap arahan itu, premis makanan tiada masalah untuk mengikutinya namun apa pun ia terpulang kepada pelanggan yang mahu menggunakan straw pada minuman mereka.

“Minuman panas tidak memerlukan straw, tetapi bagi minuman sejuk pasti sukar terutama mereka yang tidak biasa.

“Saya berharap langkah ini akan berjaya dan pelanggan diharap dapat membiasakan diri tidak menggunakan straw untuk minuman,” katanya ketika ditemui hari ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, semua premis makanan di negeri itu dilarang menyediakan straw plastik kepada pelanggan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Loy Sian berkata, premis juga dilarang menyediakan straw di kaunter untuk diambil secara bebas dan pelanggan hanya boleh memintanya jika memerlukan.

Sementara itu, Pengurus Besar Restoran Rail Canteen, Colin Yap berkata, pelanggannya diharap memahami maksud di sebalik langkah kerajaan meminimakan penggunaan straw di semua premis makanan.

“Mereka boleh bermula dengan membawa straw sendiri dari rumah jika hendak minum di restoran.

“Tapi saya lihat, tidak banyak bantahan atau reaksi negatif daripada pelanggan apabila langkah kerajaan itu diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pemilik Restoran Madam Salma, Rose Karmila Che Mohd Rose berkata, langkah itu seharusnya diterima dengan hati terbuka jika semua rakyat sayangkan alam sekitar.

Katanya, pelanggan seharusnya mengubah tabiat mereka untuk minum menggunakan straw plastik.

“Umum tahu lambakan plastik sehingga menjejaskan alam sekitar serta hidupan di muka bumi ini.

“Mungkin ada yang sukar menerimanya, namun jika tidak dimulakan sekarang, bila lagi,” katanya.

Berita berkaitan

Selangor larang penyedut minuman plastik

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 11:41 PM