Idris Musa
idris@hmetro.com.my


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa melawat bayi menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, di hospital di London.

Lawatan Perdana Menteri itu dilaporkan menerusi akaun Twitter @chedetofficial dan Facebook beliau, hari ini.

Video lawatan itu turut dimuat naik, di mana kelihatan Perdana Menteri disambut pihak hospital.

Turut kelihatan ibu bapa bayi berusia sembilan bulan terbabit, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 24.

Perdana Menteri berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari sejak Jumaat lalu.

Ainul Mardhiah yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya pada 10 Jun lalu, dipindahkan ke wad biasa sejak Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:59 AM
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa melawat Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di London semalam. FOTO Bernama.