PENYEDUT minuman kertas kini banyak digunakan di restoran dan kedai makan di sekitar Shah Alam.
Siraj Mohd Zaini


SHAH ALAM: Langkah kerajaan Selangor tidak membenarkan pemberian penyedut minuman plastik secara terbuka mulai bulan depan menerima maklum balas positif khususnya daripada pengusaha restoran dan premis makanan.

Pemilik restoran Nasi Kak Wok TTDI Jaya, Rosliza Junoh berkata, dia mengalu-alukan usaha kerajaan bagi mengurangkan penggunaan plastik dalam kalangan pengguna di negara ini.

“Saya akan patuh terhadap arahan itu, premis makanan tiada masalah untuk mengikutinya namun apa pun ia terpulang kepada pelanggan yang mahu menggunakan ‘straw’ pada minuman mereka.

“Minuman panas tidak memerlukan straw, tetapi bagi minuman sejuk pastikan akan sukar kepada mereka yang tidak biasa.

“Saya berharap langkah ini akan berjaya dan pelanggan diharap dapat membiasakan diri tidak menggunakan straw untuk meminum minuman,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, semua premis makanan di negeri ini dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan berkuat kuasa 1 Julai ini.


BEBERAPA premis memberikan penyedut minuman atas permintaan pelanggan.

Loy Sian berkata, premis juga dilarang menyediakan penyedut plastik di kaunter untuk diambil secara bebas dan pelanggan hanya boleh memintanya sekiranya memerlukan.

Sementara itu, Pengurus Besar Restoran Rail Canteen, Colin Yap berkata, pelanggannya diharap memahami maksud di sebalik langkah kerajaan meminimumkan penggunaan penyedut minuman plastik di semua premis makanan.

“Mereka boleh bermula dengan membawa penyedut minuman sendiri dari rumah jika hendak minum di restoran.

“Tapi saya lihat, tidak banyak bantahan atau reaksi negatif daripada pelanggan apabila langkah kerajaan itu diumumkan dalam berita baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pemilik Restoran Madam Salma, Rose Karmila Che Mohd Rose berkata, langkah itu seharusnya diterima dengan hati terbuka jika semua rakyat sayangkan alam sekitar di negara ini.

Katanya, pelanggan seharusnya mengubah tabiat mereka untuk minum tanpa menggunakan penyedut minuman plastik.

“Umum tahu lambakan plastik sehingga menjejaskan alam sekitar serta hidupan di muka bumi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 7:00 AM