TEOH dan Ng Wai (kanan) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


DUA syarikat didenda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan gagal memastikan keselamatan pekerja sehingga menyebabkan kematian dan kecacatan kepada pekerja mereka dalam kejadian di Manjung dan Lahat, tahun lalu.

Kedua-dua syarikat berkenaan masing-masing diwakili pengarah syarikat didakwa secara berasingan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Syarikat Tunas Gemilang TKK Enterprise diwakili Pengarahnya, Teoh Kim Kuan, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan kesalahan gagal memastikan setiap lubang pit lif pada tingkat bekerja ditutup rapat atau dipagar kukuh untuk menghalang kejadian orang jatuh.

Kegagalan syarikat itu sebagai majikan mengakibatkan seorang pekerja warga Bangladesh, Sajib Ahmmud Dulal terjatuh dan maut ketika bekerja di tapak projek membina blok apartmen 35 tingkat, di Sitiawan, 3.30 petang pada 24 Disember tahun lalu.

Teoh didakwa mengikut Seksyen 10 (e) Akta Kilang dan Jentera 1967 dan dikenakan hukuman denda RM30,000 serta enam bulan penjara jika gagal membayar.

Syarikat WIM Automation Jig & Moulding Sdn Bhd diwakili pengarahnya, Ng Wai Chew, 51, pula mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan ketika bekerja sehingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang pekerja.

Kegagalan itu mengakibatkan pekerja warga Myanmar, Chan Myae Aung terputus jari dalam kejadian di kilang syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian RIMA, Lahat, 10.15 pagi pada 28 Ogos tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan dijatuhi hukuman denda RM25,000 yang jika gagal membayarnya dikenakan penjara enam bulan.

Kedua-dua pertuduhan kes berkenaan dijalankan Pegawai Pendakwa JKKP, Hanisah Ahmad di depan Hakim, Norashima Khalid manakala kedua-dua wakil syarikat terbabit tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu mahkamah mengenakan hukuman denda yang minimum atas alasan sudah memperbaiki langkah keselamatan selepas kejadian serta sudah membayar pampasan kepada mangsa dan keluarga.

Pihak pendakwaan berhujah kesalahan dilakukan majikan berkenaan adalah serius kerana membabitkan kehilangan nyawa manusia dan kecacatan mengakibatkan keluarga mangsa hilang tempat bergantung selain mangsa yang cedera trauma.

Hanisah mencadangkan hukuman denda sewajarnya dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada pihak majikan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 1:03 PM