LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Siraj Mohd Zaini


PELAJAR lelaki Tingkatan Lima sekolah menengah agama di Kuala Langat yang bertindak menikam guru kaunseling kelmarin dipercayai kerana dendam kerana peraturan terlalu ketat di sekolah dan asrama.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek dikatakan tertekan dengan peraturan berkenaan.

Menurutnya, suspek juga gagal dalam beberapa subjek dalam peperiksaan yang diadakan sebelum cuti sekolah bulan lalu.

“Akibat tidak berpuas hati dan rasa tertekan yang melampau, suspek menunggu mangsa di luar pejabat guru itu yang berada di tingkat bawah asrama dan menyerangnya.

“Mangsa ditikam sebaik saja memasuki pejabatnya, pisau yang digunakan suspek tertanam di bahu kiri mangsa,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Muhammad Hasnan Salim, 33, cedera dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menjalani pembedahan pagi ini.

Azizan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 17 tahun itu tidak terbabit dengan dadah dan kini direman selama lima hari sehingga 21 Jun ini.

Katanya, suspek juga akan dibawa untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Banting dalam masa terdekat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, kakitangan sekolah itu yang enggan dikenali berkata, suspek tidak mempunyai sebarang masalah disiplin di sekolah.

“Sepanjang pengetahuan saya, dia tidak mempunyai sebarang masalah disiplin, malah dia juga seorang yang pendiam ketika di sekolah.

“Saya tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian rupa terhadap salah seorang guru di sekolah ini,” katanya.

Berita berkaitan

Pelajar tikam guru kaunseling

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 2:11 PM