HAZIQ. FOTO Arkib NSTP
Wan Faizal Ismayatim


KEMENTERIAN Industri Utama mengesahkan Haziq Abdullah Abdul Aziz sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Timbalan Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, pada 14 Jun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong berkata, surat itu dihantar kepada Shamsul Iskandar dan segala keputusan mengenai kedudukan Haziq akan ditentukan oleh Timbalan Menteri.

“Surat sudah dihantar pada Timbalan Menteri, semua (keputusan) Timbalan Menteri akan putuskan, saya tak mahu ulas lanjut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri kementerian itu di Putrajaya, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Industri Utama, Teresa Kok bagaimanapun tidak dihadiri Shamsul Iskandar yang difahamkan berada di Paris, Perancis kerana melakukan lawatan kerja.

Haziq menghantar surat tunjuk sebab pada 14 Jun lalu dan ia sedang dalam penelitian oleh Shamsul Iskandar sebelum kedudukannya diputuskan.

Difahamkan, antara jawapan dinyatakan Haziq dalam suratnya adalah dia mengalami kemurungan berikutan penularan video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.

Surat tunjuk sebab itu dikeluarkan pada 12 Jun lalu, selepas Haziq membuat pengakuan sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang tular di laman sosial.

Pada 13 Jun lalu, Shamsul Iskandar dalam satu sidang media khas dilaporkan berkata, surat itu dikeluarkan atas beberapa sebab, antaranya kerana syarat dalam kontrak Haziq turut menyentuh soal tindakan yang boleh mencemarkan kementerian.

Haziq juga boleh dianggap ponteng kerja kerana tidak hadir bertugas sejak video pengakuannya tersebar.

Berita berkaitan

Azmin dah beri keterangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 2:59 PM