LAPAN beradik yang diselamatkan dari pondok usang di Pulau Besar. FOTO Ihsan JKM
Nur Saliawati Salberi


KEPERITAN hidup lapan beradik yang hidup dalam keadaan daif dan tidak terurus di sebuah pondok usang di Pulau Besar di Melaka, berakhir apabila mereka diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Kanak-kanak berkenaan berusia antara enam bulan hingga 16 tahun itu dikatakan tinggal di bawah jagaan bapa mereka selepas ibunya berusia 36 tahun dimasukkan ke Pusat Serenti kerana penyalahgunaan dadah, Febuari lalu.

Bagaimanapun, kehidupan kanak-kanak itu dikatakan terbiar serta terabai apabila ayah mereka dipercayai bersikap ‘lepas tangan’ dan tugas menjaga dilakukan anak sulungnya, malah bayi perempuan itu juga kehabisan susu.

Pengarah JKM negeri Burhanuddin Bachik berkata, kesemua lapan beradik itu termasuk tiga perempuan didapati berada di bawah jagaan bapanya berusia 42 tahun.

Bagaimanapun, ketika operasi, lelaki berkenaan didapati bertindak melarikan diri.

Beliau berkata, sebaik diselamatkan kesemua mereka dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Dua beradik berusia 13 dan 16 tahun akan ditempatkan di Rumah Budak Lelaki Durian Daun, manakala tiga lagi yang berusia enam, sembilan dan 12 tahun di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Kuantan Pahang.

“Tiga beradik lagi berumur tiga dan satu tahun serta enam bulan akan ditempatkan di RKK Mini, Ulu Tiram Johor. Mereka semua ditempatkan sementara mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Mohd Nasrom Yusof berkata, pemeriksaan dokumentasi mendapati tiada pendaftaran dilakukan bapa kanak-kanak untuk tiga anaknya berusia tiga dan dua tahun serta enam bulan.

“Hari ini emaknya dibawa ke JPN dari Pusat Serenti bagi proses dokumentasi untuk dikeluarkan sijil lahir kepada ketiga-tiga anaknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 4:10 PM