ANTARA pelajar yang diperiksa polis. FOTO ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


SEPULUH pelajar ditahan polis selepas terbabit pesta dadah di dalam bilik asrama sebuah kolej swasta di Taman Perai Utama, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 11.55 malam, semua pelajar berusia 16 hingga 25 tahun itu pada mulanya dicekup warden asrama sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, daripada 10 yang ditahan, tujuh daripadanya didapati positif Methamphetamine.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas satu peket lut sinar mengandungi Methamphetamine seberat 0.03 gram dan satu balang kaca diubahsuai untuk menghisap dadah.

“Semua mereka kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah SPT dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati hanya seorang daripada mereka iaitu pelajar berusia 18 tahun mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

“Polis akan sentiasa memantau dan melakukan operasi jika mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 4:55 PM