Iskandar Shah Mohamed


SEPULUH kru bot nelayan yang didakwa diculik penjenayah rentas sempadan berhampiran perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina, awal pagi tadi disahkan bukan rakyat Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan awal mendapati semua individu itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

“Mereka diculik ketika berada di dalam kawasan perintah berkurung (ESSZONE) dan dalam perairan negara berhampiran Felda Sahabat.

“Semua warga asing itu berkemungkinan dari Filipina, Indonesia atau negara jiran lain, namun siasatan masih sedang dijalankan.

“Kita percaya mereka yang diculik adalah nelayan kerana kejadian berlaku pada 2.45 pagi iaitu masa untuk menangkap ikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di Shah Alam, hari ini.

Media melaporkan dua bot yang dipercayai berada di perairan Tambisan sedang menuju ke Semporna, Sabah sebelum didatangi kumpulan bersenjata menggunakan bot laju, kira-kira 2 pagi tadi.

Difahamkan, semua mangsa yang diculik adalah lelaki iaitu pemegang dokumen Lepa-Lepa berusia antara 17 tahun hingga 60 tahun.

Kata Mazlan, siasatan mendapati semua nelayan itu menaiki dua bot bersama enam lagi yang tidak diculik.

“Seorang daripada nelayan yang selamat itu memiliki pas imigresen dari Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat individu yang terbabit dalam kes penculikan itu.

“Selain itu, mengapa mereka berada dalam kawasan perintah berkurung berkenaan.

“Ia menjadi persoalan kerana jika nelayan tempatan, mereka mesti mengetahui kawasan itu kawasan larangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:50 PM