SAIFUDDIN Nasution. FOTO Arkib NSTP


PARTI Keadilan Rakyat (PKR) yakin Pakatan Harapan (PH) tidak akan berganjak dengan pelan asal pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dipandu dengan keputusan asal dalam perjanjian membabitkan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 6 Januari 2018, lima bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Keputusan (perjanjian) itu mengikat PH sampai bila-bila. Melainkan keputusan itu dirungkai dan diubah. Proses nak ubah dan rungkai mesti balik semula kepada PH.

“Keputusan itu adalah jika PH menang, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri dan (Datuk Seri) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Manakala, Anwar sebagai pengganti Perdana Menteri.

“Setakat ini, dua sudah dilaksanakan. Apa yang belum terlaksana adalah lantikan Anwar,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pembangunan Industri Kewangan Malaysia (MIDF), di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang di Kuala Lumpur, hari ini.


ANWAR. FOTO Arkib NSTP

Beliau memberi reaksi itu selepas ditanya pemberita mengenai desakan beberapa pihak yang menggesa Dr Wan Azizah agar meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk digantikan dengan Anwar.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya tidak akan melayan desakan itu kerana berpegang kepada perjanjian PH sebelum PRU-14 lalu, tambahan pula negara ini mengamalkan demokrasi.

“Pandangan luar itu kita anggap sebagai asam garam. Jangan hanya kerana desakan itu kita ubah formula. Kita masih kekal dengan pelan asal.

“Beri ruang kepada PH bergerak sebagai kerajaan dan menunaikan tanggungjawabnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:59 PM