WANITA warga asing bersembunyi di dalam peti sejuk beku ketika mahu mengelak ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi di Ampang dan Klang, bermula petang semalam hingga hari ini. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Selangor.
Mohd Azam Shah Yaacob


BIMBANG ditahan, seorang wanita warga asing bertindak nekad bersembunyi di dalam peti sejuk beku sebuah pusat snooker di Ampang, Selangor dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, semalam.

Bagaimanapun, tindakannya tidak berhasil apabila pegawai imigresen menemui wanita berkenaan yang berada dalam kesejukan.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, wanita itu antara 42 warga asing termasuk bayi berusia satu tahun ditahan dalam operasi di sebuah pasar raya, pusat snooker dan pusat karaoke di Ampang selain sebuah rumah sewa di Klang, semalam.

Beliau berkata, operasi bermula 5.30 petang dan tamat sekitar 2.30 pagi tadi membabitkan 18 pegawai dan anggota penguat kuasa Imigresen Selangor.

“Dalam operasi itu, 74 warga asing diperiksa dan 42 daripadanya termasuk bayi berusia satu tahun hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Seramai 18 daripadanya ditahan di lokasi pertama di sebuah pasar raya dan ada antara mereka pekerja serta pelanggan pasar raya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, di lokasi kedua di pusat snooker pula, 20 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen manakala tiga wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah pusat karaoke di Ampang.

Katanya, di lokasi terakhir di sebuah rumah sewa di Klang, pihaknya menahan seorang warga asing kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Dalam operasi semalam, kebanyakan warga asing berkenaan cuba melarikan diri termasuk yang bersembunyi di dalam peti sejuk beku bagi mengelak ditahan.

“Namun, tindakan itu tidak berjaya berikutan pasukan serbuan sudah memantau pergerakan mereka terlebih dahulu bagi mengelak mereka melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan membabitkan lapan lelaki Indonesia, Bangladesh (4), India (2) dan seorang lelaki Pakistan.

Katanya, wanita warga asing pula terdiri daripada 12 wanita Indonesia serta seorang kanak-kanak, Vietnam (3) dan seorang wanita Sri Lanka.

“Mereka ditahan di Depot Imigresen Semenyih mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari.

“Mereka disiasat atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tamat tempoh pas atau permit dan Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:33 PM