Syed Hussien (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada guru di SMA MAIWP Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Khairul Najib Asarulah Khan


MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memperkenalkan konsep penilaian pelajar terhadap guru mulai Januari tahun hadapan.

Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, penilaian bermula skor satu hingga 10 itu hanya membabitkan pelajar tingkatan satu hingga enam.

Katanya, pelajar akan menentukan skor bagi setiap subjek yang mereka pelajari.

“Skor itu nanti akan dinilai satu jawatankuasa penilaian yang dibentuk dalam masa terdekat.

“Guru yang mendapat skor rendah kita akan jumpa dan membantu meningkatkan prestasi mengajar,” katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat MAIWP 2019 di Sekolah Menengah Agama MAIWP, Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Dalam memantapkan lagi institusi pendidikan MAIWP, Syed Hussien berkata, pihaknya turut menetapkan beberapa cabaran pencapaian pendidikan 2020.

“Antaranya mewujudkan sekurang-kurangnya lima tadika Islam secara komersial, menaiktaraf tahap pensijilan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) kepada diploma dan mewujudkan pusat asuhan bayi di Putrajaya.

“Selain itu, pertandingan debat ala parlimen akan diperkasakan dalam melahirkan pelajar yang petah bercakap di khalayak secara berilmiah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 11:45 PM