Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI warga Indonesia maut ditikam rakan sekerjanya dalam kejadian di Apartmen Desa Mentari, di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Idris, 45, ditikam menggunakan senjata tajam selepas minum pagi bersama rakannya itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa tinggal di apartmen berkenaan bersama keluarganya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa didapati berhutang dengan suspek sebanyak ratusan ringgit menyebabkan suspek tidak berpuas hati.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek membawa senjata tajam ke arah mangsa sebelum menikam mangsa.

“Mangsa bekerja sebagai buruh dan mengenali suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zani berkata, suspek berusia lingkungan 40-an melarikan diri selepas kejadian.

“Polis kini giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 1:42 PM
LELAKI warga Indonesia maut ditikam rakan sekerjanya dipercayai akibat perselisihan faham di Apartmen Desa Mentari Petaling Jaya, hari ini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor