GAMBAR hiasan
Iskandar Shah Mohamed


ORANG ramai terutama netizen diminta menghentikan penularan butiran mengenai remaja lelaki yang disyaki menikam guru kaunseling di sekolah menengah agama di Kuala Langat, Ahad lalu.

Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Kuala Langat Jefrizal Mohd Jaafar berkata, butiran antaranya laporan polis dan gambar suspek tersebar dalam media sosial seperti Facebook (FB) selain WhatsApp serta Telegram.

“Sebagai makluman, suspek adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun seperti takrifan Akta Kanak-Kanak Pindaan 2018 dan sentiasa tertakluk kepada prosedur mahkamah terutama Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK).

“Ia bermakna bahawa kanak-kanak itu adalah terlindung hak demi masa depannya yang masih panjang,” katanya kepada Harian Metro.

Justeru, kata beliau yang juga Ahli Panel Penasihat MBKK Mahkamah Telok Datok, penularan butiran mengenai suspek perlu segera dihentikan terutama di media sosial.

“Tanggungjawab perlu diserahkan kepada pihak berwajib seperti polis, mahkamah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menguruskannya

“Butiran kanak-kanak ini juga boleh dianggap sebagai satu kesalahan seperti tertakluk dalam peruntukan akta berkaitan,” katanya.

Harian Metro melaporkan pelajar lelaki Tingkatan Lima sekolah menengah agama di Kuala Langat yang bertindak menikam guru kaunseling dipercayai berdendam kerana peraturan terlalu ketat di sekolah dan asrama.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman dipetik berkata, suspek dikatakan tertekan dengan peraturan berkenaan dan gagal dalam beberapa subjek peperiksaan yang diadakan sebelum cuti sekolah bulan lalu.

Akibat tidak berpuas hati dan rasa tertekan melampau, suspek menunggu mangsa di luar pejabat guru itu yang berada di tingkat bawah asrama dan menyerangnya.

Mangsa ditikam sebaik saja memasuki pejabatnya, pisau yang digunakan suspek tertanam di bahu kiri mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Muhammad Hasnan Salim, 33, cedera dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menjalani pembedahan.

Siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 17 tahun itu tidak terbabit dengan dadah dan direman selama lima hari sehingga 21 Jun ini serta dibawa menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Banting dalam masa terdekat.

Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Pelajar tikam guru kaunseling

Tertekan peraturan sekolah ketat sangat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 2:16 PM