PROTON Saga dipandu suspek rosak selepas merempuh tiga kenderaan di pusingan U Jang Lung, Jalan Penampang Baru, Penampang. FOTO IHSAN POLIS
Junaidi Ladjana


TIGA kenderaan rosak selepas dilanggar kereta yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di pusingan U Jang Lung, Jalan Penampang Baru, semalam.

Dalam kejadian jam 5.51 petang, tiga kenderaan terbabit iaitu pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max, Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Mitsubishi Pajero Sport dan Perodua Kelisa rosak teruk, namun semua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai melarikan diri ketika mahu diperiksa anggota polis URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Ketika dikejar pasukan URB, suspek melarikan diri dan masuk ke Penampang. Apabila tiba di hadapan kedai Seramik Jang Lung, suspek memecut dengan naik ke pembahagi jalan lalu melanggar pikap yang datang dari arah bertentangan.

“Selepas itu, suspek melanggar Perodua Kelisa dan sebaik tiba di hadapan TM Bandar Baru Penampang, suspek melanggar SUV sebelum keluar daripada kereta lalu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan masih dilakukan dan orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 2:49 PM