DR Zulkifli Mohamad al-Bakri
DR Zulkifli Mohamad al-Bakri
Idris Musa


AMALAN ziarah, bermaafan dan mengadakan jamuan makan sepanjang Syawal bukan termasuk perkara bidaah tercela. Demikian menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Menurutnya, ini kerana tiada satu pun ibadat khusus direka dalam sambutan Aidilfitri selama sebulan yang diadakan.

“Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

“Ia sekadar satu tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan Syawal yang mulia,” katanya menerusi ruangan al-Kafi Li al-Fatawi yang disiarkan di laman web rasmi beliau, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan sama ada sambutan Aidilfitri selama sebulan seperti dilakukan pada masa ini adalah perbuatan bidaah.

Menurut Zulkifli, berdasarkan takrifan menunjukkan bukan semua perkara baharu itu dicela, bahkan jika memiliki sandaran daripada syarak maka ia termasuk perkara baik dianjurkan.

Katanya, ini bertepatan amalan dilakukan pada Syawal seperti ziarah, bermaafan dan mengadakan jamuan makan yang sememangnya dituntut syarak tanpa mengira masa dan ketika.

“Namun, ia dilakukan masyarakat sebagai satu adat tradisi dalam mengambil keberkatan bulan yang mulia seperti Syawal.

“Kami menggalakkan jika masyarakat mengambil peluang ini untuk mengadakan jamuan makan terutama kepada fakir miskin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 4:55 PM