PISANG dicuri suspek yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


KEGIATAN dua beradik mencuri pisang milik penduduk kampung di Sungai Air Tawar di Sungai Besar, sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila mereka dicekup polis, kelmarin.

Dua beradik itu ditahan dalam dua serbuan berasingan selepas polis menerima maklumat daripada seorang daripada pemilik kebun pisang di kampung itu.

Tangkapan pertama dilakukan 2.30 petang apabila sepasukan polis dengan kerjasama penduduk kampung menahan suspek berusia 30 tahun di kebun pisang di Sungai Tengar Utara.

Penahanan itu hasil maklumat pemilik kebun berusia 33 tahun yang memaklumkan ada kesan ceroboh di kebunya itu sebelum polis bersama penduduk memerangkap suspek.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek ketika leka melonggokkan pisang yang ditebang sebelum ditahan polis dan orang awam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membolehkan pihaknya menemui 13 tandan pelbagai jenis pisang yang dianggarkan bernilai RM600 dicuri lelaki berkenaan.

“Ia kemudian membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 32 tahun yang turut melakukan kegiatan berkenaan.

“Suspek kedua itu ditahan di sebuah rumah di Sungai Air Tawar pada 9.15 malam hari sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.


NOR Azmi (tengah) menunjukkan pisang dan motosikal yang dirampas polis. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Nor Azmi berkata, pihaknya turut merampas motosikal Honda Wave dan peralatan mencantas pisang yang digunakan dalam jenayah itu.

Katanya, hasil saringan air kencing ke atas dua lelaki itu didapati mereka positif dadah dan seorang daripadanya memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:31 PM