Motosikal milik suspek yang ditinggalkan di rumah mangsa. FOTO HASSAN OMAR


AKIBAT terkejut disergah penghuni rumah, seorang lelaki dipercayai sedang mengumpul barangan untuk dicuri melarikan diri meninggalkan motosikalnya di kediaman itu, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, suspek berpakaian gelap melarikan diri selepas memanjat pagar tanpa sempat melarikan barangan seperti kasut roda dan beg berisi bola golf, topi keledar serta beberapa pasang kasut.

Suspek yang panik turut meninggalkan motosikal diletakkan di pintu pagar rumah dua tingkat di Taman Bandar Baru, Masjid Tanah, Alor Gajah.

Menurut Penghuni rumah, Mohd Mufti Kamaruzzaman, 30, terjaga daripada tidur kira-kira jam 3.55 pagi dan mahu membuang air kecil di tandas luar rumah dan sejurus selepas membuka pintu dapur, dia terlihat kelibat lelaki berhampiran pagar.

“Saya menyergah lelaki itu menyebabkannya kelam kabut memanjat pagar dan melarikan diri tetapi tertinggal motosikal jenis Honda diletakkan di luar pintu pagar.

“Saya mengejutkan ibu bapa, isteri dan bapa saudara yang tinggal bersebelahan rumah dan kami mendapati suspek sudah mengumpulkan kasut roda dan beg berisi bola golf, topi keledar dan beberapa pasang kasut yang diletakkan di anjung rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Mufti yang bertugas sebagai pelaut di syarikat perkapalan di Terengganu menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Katanya, siasatan polis menemui satu telefon bimbit dan dua beg kecil dalam bakul motosikal.

“Anggota polis ini menyatakan suspek dipercayai penagih dadah sebelum membawa motosikal berkenaan ke balai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Abd Rahman berkata, polis sedang berusaha mengesan suspek dipercayai menggunakan motosikal milik bapanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:32 PM