Twitter Zulkifli yang berkongsi penerimaan kad pengenalan lama diterimanya hari ini.


“TERHARU, gembira dan sebak bercampur baur dalam hati ini,” kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri selepas menerima hadiah berupa gambar kad pengenalan lama beliau, hari ini.

Menurutnya, hadiah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu mengembalikan memori beliau ketika zaman kanak-kanak di kampungnya di Terengganu.

“Satu gambar biasanya merakamkan 1,001 sejarah di sebaliknya.

“Hari ini saya menerima hadiah yang tidak disangka-sangka daripada JPN selepas Kuliah Zuhur sebentar tadi.

“Teringat kenangan suasana di kampung bersama sahabat handai. Dunia kanak-kanak yang sentiasa menggembirakan dengan keletah masing-masing.

“Selesai waktu persekolahan yang dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh untuk ilmu, kami mandi sungai, main layang-layang, main biji saga, galah panjang, gasing, sepak takraw. Itulah sejuzuk daripada memori yang masih terpahat sehingga kini,” katanya.

Beliau berkongsi gambar itu bersama rakan maya menerusi akaun Twitter dan Facebook beliau.

Zulkifli berkata, setiap kali memandang gambar itu, beliau pasti tersenyum.

“Terima kasih JPN kerana mengembalikan semula memori ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:43 PM