Rosol (tiga kiri) melawat Orang Asli yang masih dirawat di HTT. FOTO Baharom Bakar
Mohd Aizat Shamsuddin dan Baharom Bakar


LAPAN belas penduduk Orang Asli termasuk lima daripada perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu, masih dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HTT) disyaki dijangkiti saluran pernafasan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, keadaan semua mangsa yang dimasukkan ke HHT dari 7 Jun hingga Jumaat lalu dilaporkan stabil.

Katanya, selain perkampungan Orang Asli Sungai Berua, 12 mangsa dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dan seorang dari Jerantut, Pahang.

“Mangsa yang dirawat ialah lapan lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

“Mereka yang dirujuk ke HHT ini pada awalnya tidak mempunyai tanda demam campak atau Measles, sebaliknya hanya mengalami batuk, demam dan sesak nafas.

“Ujian darah mendapati lapan mangsa didapati positif demam campak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid sempat meluangkan masa kira-kira sejam melawat masyarakat Orang Asli yang dimasukkan ke HHT diiringi Pengarahnya, Dr Ahmad Asri Ibrahim.

Ketika ditemui, Rasol berharap kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menasihati masyarakat itu supaya menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan di hospital jika mengalami masalah kesihatan.

“Saya harap masyarakat Orang Asli ini tidak hanya bergantung kepada ubat-ubatan tradisional sebaliknya terus ke hospital jika mengalami masalah kesihatan.

“Malah saya melihat, kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli ini sudah timbul apabila ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau juga berharap, kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penularan wabak demam campak.

“Saya difahamkan, demam campak ini sudah tidak wujud dalam masyarakat kita di negara ini, namun disebabkan mereka enggan mengambil suntikan vaksin, wabak ini berlaku dalam kalangan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:59 PM