Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


SINDIKET penyeludupan rokok dilihat semakin licik dan berani apabila menggunakan kapal dagang yang berlabuh di laut untuk membawa masuk rokok ke negara ini.

Taktik terbaru anggota sindiket itu dikesan Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman dan hasil risikan sejak tiga minggu lalu itu membawa kepada rampasan 279,000 karton rokok bernilai RM4.87 juta awal pagi hari ini.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi 2 pagi di kawasan Leban Chondong itu turut menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Katanya, berdasarkan siasatan pihaknya, semua rokok itu dipunggah dari sebuah kapal dagang dari Vietnam yang dikesan berlabuh di perairan Nenasi, Pekan.

“Rokok itu dipunggah menggunakan beberapa bot pancung milik nelayan tempatan sebelum dibawa ke pantai dan dimasukkan ke dalam tiga lori berkapasiti tiga dan lima tan.

“Semua lori itu bergerak menuju ke destinasi ditetapkan iaitu Kuala Lumpur, Kuantan dan Kota Bharu untuk diedarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Taktikal PPM Wilayah 3, Tanjung Gemuk, Kuantan hari ini.

Mohd Yusoff berkata, siasatan mendapati sindiket itu turut menggunakan sebuah lori kosong untuk dijadikan umpan dan ‘mengetuai’ konvoi lori berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Jika pihak berkuasa tidak menahan lori ‘umpan’ itu, anggota sindiket beranggapan lori selebihnya pasti selamat sekali gus memudahkan perjalanan mereka.

“Namun dalam operasi kali ini kita bertindak sebaliknya dan berjaya memintas tiga lori jenis Isuzu dan Hino di kawasan Leban Chondong,” katanya.

Beliau berkata, tiga suspek yang ditahan adalah warga tempatan dan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan pembabitan mereka.

“Kita percaya rokok itu untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan Pantai Timur dan rampasan ini adalah yang terbesar tahun ini.

“Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian besar di negara ini dan sering menjadikan perairan di sekitar Pahang sebagai ‘port’ untuk mendaratkan rokok seludup,” katanya.

Katanya, dalam rampasan itu juga mereka mendapati terdapat dua jenama rokok terbaru yang cuba dibawa masuk ke negara ini.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135(a) Akta Kastam 1967 dan pihaknya akan mendapatkan perintah reman untuk ketiga-tiga suspek.

“Dari Januari hingga Jun ini, sembilan kes berjaya ditumpaskan PPM Bukit Aman iaitu lapan kes di bawah Akta Kastam dan satu lagi di bawah Akta Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) dengan nilai rampasan keseluruhan RM12.3 juta,” katanya.


Muhd Yusoff (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas bernilai RM4.87 juta. FOTO Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:19 PM