Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SERAMAI 394 penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) disahkan mengalami keracunan makanan dalam satu program orientasi semalam.

Namun sehingga 8 pagi tadi, 234 daripada mereka sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di tiga hospital kerajaan.

Seramai 160 lagi penuntut disaring oleh pasukan perubatan dari klinik kesihatan berdekatan.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, semua penuntut Tahun Pertama itu mengalami gejala loya, muntah sakit perut dan cirit-birit selepas makan hidangan yang disediakan katerer ketika program terbabit.

“Semua pesakit itu bagaimanapun stabil dan tiada kemasukan ke wad dengan kejadian keracunan makanan berkenaan adalah terkawal.

“Siasatan lanjut masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bagi mengenalpasti punca sebenar keracunan dan beberapa sampel berkaitan akan diambil,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam hari ini.

Justeru, Khalid berkata, pengendali makanan dinasihatkan sentiasa memastikan pengendalian makanan mengikut tatacara keselamatan ditetapkan.

“Selain itu, mereka perlu memastikan kebersihan diri, premis makanan dan kawasan persekitarannya.

“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan selain membasuh tangan menggunakan sabun serta air bersih sama ada sebelum menyediakan makanan, makan atau selepas menggunakan tandas,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan 110 penuntut kolej itu dikejarkan ke Hospital Serdang selepas mengalami muntah dan sakit perut dipercayai akibat keracunan makanan.

Semua penuntut itu membabitkan 90 wanita dan 20 lelaki sedang menjalani program orientasi bagi kemasukan peringkat diploma dan ijazah kolej universiti itu.

Kebanyakan penuntut mengadu sakit perut dan muntah selepas solat Maghrib dan susulan itu KUIS membawa mereka ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Berita berkaitan

'Makan ayam kicap sedikit berbau'

Ayam kurma punca 110 penuntut keracunan? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 8:43 PM