ZAMZURI (kiri) dan Madzlina menonton perkembangan laporan siasatan MH17. FOTO Mohd Radzi Bujang
Mohd Roji Kawi


PENANTIAN selama lima tahun untuk mengetahui dalang menembak jatuh pesawat MH17 Penerbangan Malaysia dianggap berbaloi apabila empat suspek utama diumumkan, hari ini.

Madzalina Ghazalee, kakak kepada salah seorang mangsa, Ariza Ghazalee berkata, pengumuman itu cukup melegakan mereka sekeluarga.

Beliau berkata, selama ini mereka tidak pernah jemu mendapatkan perkembangan siasatan itu menerusi MH17 Family Care dan pengumuman yang dibuat petang tadi menjadi detik menggembirakan selepas sekian lama mereka bersedih apabila kehilangan enam ahli keluarga dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu.

“Lega sangat…. selama ini kami tertunggu-tunggu pengumuman ini. Sekurang-kurangnya, kita tahu siapa yang mendalangi tragedi itu,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Ghazali di Petra Jaya, selepas solat Maghrib, hari ini.

Masjid Al-Ghazali didirikan dengan wang pampasan diterima waris enam sekeluarga yang terkorban dalam tragedi MH17 iaitu jurutera petroleum, Tambi Jiee, 49, dan isterinya Ariza Ghazalee, 46, bersama empat anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.

Sementara itu, adik arwah Ariza, Zamzuri Ghazalee, pula mengharapkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku yang mengorbankan 292 penumpang dan anak kapal penerbangan MH17 itu.

“Empat suspek utama sudah diumumkan dan seperti waris mangsa yang lain, kami sekeluarga juga tentunya mahu melihat mereka yang dituduh itu dikenakan hukuman setimpal.

“Kami kehilangan enam ahli keluarga oleh perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Madzalina dan Zamzuri berkata, walaupun mereka tidak berpeluang untuk mengikuti sidang media secara dekat di Belanda, mereka mengikuti perkembangan itu setiap hari menerusi maklumat yang disalurkan M17 Family Care yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Dalam tempoh lima tahun ini, merekalah (MH17 Family Care) yang memberi semua maklumat terkini kes itu kepada kami,” kata Zamzuri.

Berita berkaitan

MH17: Empat perancang utama dikenal pasti [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 8:51 PM