HAZIQ (tengah) diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab. FOTO Hafiz Sohaimi.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


PARTI Keadilan Rakyat (PKR) memberi tempoh 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab berkaitan pembabitannya dengan amalan seks songsang.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, surat akan diserahkan kepada Haziq, esok.

“Lembaga Disiplin bersidang Ahad lalu dan membuat keputusan untuk memberikan surat tunjuk sebab kerana Haziq sudah mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti,” katanya di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik parti yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Lembaga Disiplin turut mengambil maklum penafian Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan menyerahkan siasatan selanjutnya kepada pihak berkuasa.

“Pada masa sama, parti akan turut menyiasat dakwaan berkenaan selain menanti keputusan pihak berkuasa berkaitan siasatan yang dijalankan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada semua pemimpin supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada pemimpin lain tanpa asas demi memelihara keutuhan parti.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan tidak wujud perpecahan dalam parti berkaitan kes itu.

Sebaliknya, beliau berkata, Biro Politik akur dengan keputusan Lembaga Disiplin itu tanpa sebarang bantahan.

Katanya, segala keputusan dicapai itu adalah secara konsensus termasuk oleh Naib Presiden, Zuraida Kamarudin.

Zuraida sebelum itu mengesyorkan supaya Haziq dipecat daripada parti berikutan tingkah lakunya yang mencemarkan parti.

Haziq yang digantung kerja sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama sebelum ini mengaku dia adalah salah seorang individu yang dirakam dalam klip hubungan seks songsang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:21 PM