Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Sempena Aidilfitri anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-India di Petaling Jaya hari ini. FOTO Aswadi Alias

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, polis harus menyiasat penulis manuskrip buku “Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’.

“Orang yang jadi penulis picisan dibayar, diupah masa (ini) untuk diketahui oleh umum, (harus) disiasat, diambil tindakan yang wajar.

“Polis harus siasat, dia ugut tak bayar RM400,000 kita ‘publish’ (terbit),” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Sempena Aidilfitri anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-India di Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen PKR Datuk Johari Abdul mendedahkan manuskrip buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu dilaporkan menerima manuskrip berkenaan 10 Jun lalu.

Beliau mendakwa penulis manuskrip itu cuba memeras ugut untuk mendapatkan bayaran lebih tinggi daripada yang ditawarkan kepadanya untuk menulis buku berkenaan.

Perkembangan itu hadir ketika kontroversi video intim yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hangat diperkatakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:24 PM