HASHIMAH Mahmood, 49, (kiri) bersama bapa saudara mangsa, Mohd Hashim Md Isa, 63, menunjukkan salinan laporan polis dan gambar kecederaan tangan kiri dialami Mohamad Alif Aiman Anuar akibat ditembak seorang anggota polis trafik pagi tadi. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TUKANG paip cedera di lengan kiri akibat ditembak oleh seorang anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal dinaiki mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, dari Kuala Kedah sedang membonceng motosikal ditunggangi rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu, di sini.

Menurut ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, dia difahamkan anak ketiganya daripada lima beradik itu ditembak selepas didapati gagal memberhentikan motosikal mereka di persimpangan lampu isyarat di jalan berkenaan.

“Polis trafik yang kebetulan berada di jalan itu bertindak mengejar motosikal yang dinaiki anaknya sebelum melepaskan tembakan.

“Berikutan kejadian itu, anak saya yang bekerja sebagai tukang paip kini ditempatkan di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Malah, pihak hospital memaklumkan bahawa akan menjalankan satu pembedahan bagi mengeluarkan sebutir peluru pada tangan anak saya malam ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Hashimah berkata, anaknya yang masih dalam keadaan sedar mengadu kepadanya bahawa dia sudah menyuruh rakannya memberhentikan motosikal namun rakannya itu enggan berbuat demikian kerana tidak memiliki lesen memandu.

Bagaimanapun, dia berasa tidak berpuas hati dengan tindakan polis itu melepaskan tembakan sedangkan dia mendakwa anaknya tidak memberi sebarang ancaman kepada polis itu.

“Berdasarkan apa yang diberitahu anak saya, selepas ditembak anggota itu meninggalkan anak saya dalam keadaan berlumuran darah selain tidak membantu menghubungi ambulans.

“Saya ingin menuntut keadilan untuk anak saya yang mungkin akan cacat seumur hidup,” katanya.

Suri rumah itu berkata, rakan anaknya iaitu penunggang motosikal sudah menghubungi majikan untuk membawa anaknya ke hospital.

Dia menyifatkan anaknya itu bersih daripada sebarang rekod jenayah dan tidak membawa apa-apa senjata melainkan peralatan kerja.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit.

Katanya, setakat ini anggota polis trafik yang melepaskan tembakan itu masih belum membuat laporan polis.

“Siasatan kini dijalankan untuk mencari punca mengapa tembakan berkenaan boleh dilepaskan sama ada tembakan yang dilepaskan adalah dengan niat untuk memberhentikan motosikal berkenaan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, tindakan itu adalah tidak wajar dan sekiranya tindakan anggota polis itu didapati bertentangan dengan undang-undang, ia akan membuka ruang kepada mangsa untuk mengambil tindakan sivil terhadap pasukan sepertimana yang telah berlaku dalam kebanyakan kes sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:32 PM