Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


DUA bot yang membawa 16 nelayan Bajau Laut didapati melanggar sempadan perairan Malaysia dan Filipina sebelum 10 daripada mereka diculik berhampiran perairan Tawi-tawi, Selatan Filipina semalam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, dua bot terbabit tidak memaklumkan sebarang maklumat bahawa mereka memasuki perairan negara ketika kejadian.

Katanya, kejadian berlaku berhampiran dengan perbatasan perairan Malaysia dan 13.2 batu nautika dari kawasan pantai negara.

“Bot itu belayar pada waktu malam di perbatasan dan sepatutnya mereka sebagai nelayan tahu kawasan itu mempunyai perintah berkurung kemasukan.

“Tidak boleh masuk melainkan mereka memaklumkan secara terperinci kepada pihak berkuasa sebarang kegiatan aktiviti mereka,” katanya ditemui ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi memaklumkan lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes culik 10 nelayan Bajau Laut terbabit.

Katanya, enam daripada lapan individu ditahan adalah warga asing berusia 17 hingga 60 tahun yang selamat dalam penculikan itu.

“Mereka yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai dibawa masuk ke perairan negara ini secara haram didalangi warga tempatan.

“Polis turut menahan pemilik bot dan pengendali bot yang masing-masing warga tempatan disyaki membawa masuk semua mangsa secara haram,” katanya.

Berita berkaitan

Polis tunggu panggilan penculik

Polis Sabah mula siasatan kes culik

Nelayan diculik bukan rakyat Malaysia [METROTV]

10 nelayan diculik?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:41 PM