Gambar menunjukkan pergaduhan antara mangsa dan kumpulan lelaki.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENUNTUT institut pengajian tinggi dibelasah sekumpulan lelaki di perkarangan restoran makanan segera di Sungai Isap, Kuantan malam tadi.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun dikatakan didatangi beberapa lelaki sebelum menumbuk muka mangsa dan menendangnya.

Difahamkan mangsa yang ketika itu berada bersama beberapa rakannya turut dipukul kumpulan lelaki terbabit sebelum kejadian dileraikan orang ramai.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa dikatakan dihubungi bapa saudara bekas tunangnya untuk bertemu di restoran makanan segera berkenaan beberapa jam sebelum kejadian.

Sumber memberitahu, mangsa turut meminta lelaki terbabit membawa bekas tunangnya ke restoran itu sebelum dia diserang sekumpulan lelaki yang menaiki kereta.

Aksi pergaduhan itu turut tular di media sosial Facebook (FB) dipercayai dirakam pelanggan restoran.

Video berdurasi 27 saat itu memaparkan aksi pergaduhan di antara dua kumpulan yang bertumbuk dan menendang di antara satu sama lain.

Motif serta punca pergaduhan masih belum dikenal pasti dan dipercayai masih dalam siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, beberapa suspek yang terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan bagi membantu siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 12:16 AM