LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Noorazura Abdul Rahman


TUKANG paip yang cedera di lengan kiri akibat ditembak anggota polis trafik selamat menjalani pembedahan membuang peluru, hari ini.

Ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, berkata, anaknya Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, dibawa masuk ke dewan bedah 9.20 malam tadi dan keluar dari dewan berkenaan pada 5.40 pagi tadi.

Katanya, Mohamad Alif Aiman atau mesra dipanggil Alif dilihat berada dalam keadaan stabil dan sempat mengadu kepadanya sakit pada bahagian pembedahan selain merasa kebas jari.

“Saya beri dia semangat supaya tak fikir bukan-bukan, saya beritahu mungkin itu hanya kesan selepas pembedahan.

“Doktor pun maklumkan pada saya selepas lima hari, anak saya mungkin akan menjalani pembedahan lain, setakat ini doktor tidak menjahit sepenuhnya pada bahagian lengan kerana bimbang ada jangkitan kuman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hashimah berkata, dia difahamkan bahawa satu daripada urat nadi anaknya juga putus akibat tembakan itu termasuk kerosakan beberapa bahagian saraf.

Katanya, doktor tidak membuang serpihan tulang yang hancur kerana bimbang akan merosakkan saraf lain.

“Cuma doktor harap tidak berlaku jangkitan kuman kerana ia boleh menyebabkan risiko lain termasuklah kemungkinan anak saya boleh cacat.

“Buat masa sekarang doktor sudah pesan supaya orang luar tidak boleh melawatnya kecuali ibu bapa sahaja, jadi saya harap orang ramai faham dengan keadaan anak saya,” kata ibu kepada lima orang anak ini.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, mangsa ditembak di lengan kiri oleh anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal dinaiki mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, semalam.

Bagaimanapun, rakannya yang menunggang motosikal terbabit enggan berbuat demikian kerana tidak memiliki lesen memandu.

Berita berkaitan

Tukang paip cedera terkena tembakan polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 11:16 AM