Shamsul Munir Safini


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian penjaja nasi lemak Roslinda Mohamad Isa, 44, Ahad lalu.

Tertuduh, G Ravi, 31, mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret M Kalaiarasi sebelum minta dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Ravi pada jam 10 pagi, 16 Jun lalu didapati memandu di bawah pengaruh dadah sebelum merempuh penjaja nasi lemak di Jalan Bertam Indah arah Paya Keladi sehingga maut.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azmil Johari memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dan jika berhasrat sebaliknya, Ravi diberikan jaminan RM20,000.

“Mahkamah juga diminta mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh jika jaminan diberikan kepadanya,” katanya.

Kalaiarasi kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan bermula hari ini.

Tertuduh diwakili Muhaimin Hashim dan sebutan semula kes ditetapkan 22 Julai ini.

Sementara itu, anak sulung kepada arwah Roslinda, Muhamad Razin Naufan Mat Subri, 20, hadir ke mahkamah bersama adik keduanya, Nur Syafiqah Mat Subri, 18, bagi mengikuti prosiding.

Katanya, dia hadir ke mahkamah bagi mendengar pengakuan bersalah namun sebaliknya dan berharap keluarga memperoleh keadilan atas apa yang berlaku kepada ibunya.

Muhamad Razin berkata, bapanya, Mat Subri Saad, 44, yang cedera dalam kejadian itu stabil dan dibenarkan pulang ke rumah.

“Saya masih belum dapat pulang ke rumah kerana masih terbayang arwah di rumah dan tidak boleh mengawal perasaan sedih.

“Kami semua begitu rapat dengannya dan dia sering berjenaka dan ketiadaannya begitu menyedihkan kami sekeluarga terutama Syafiqah,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan sambutan hari lahir Syafiqah pada malam kejadian namun ia bertukar menjadi kenduri arwah.

“Saya tak maafkan dia malah masih marah dengan kejadian yang menimpa ibu yang meninggal dunia atas kecuaian orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 1:05 PM
ANGGOTA polis mengiringi Ravi yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini. FOTO Mikail Ong Abdullah