IBU kepada lelaki berusia 33 tahun terkejut mengetahui anaknya menagih dadah bersama teman wanita berusia 34 tahun di dalam bilik di rumah kediaman mereka di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, semalam. FOTO Ihsan AADK
Siraj Mohd Zaini


LULUH hati ibu apabila mengetahui anak lelakinya didapati positif dadah syabu ketika dicekup anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Klang di dalam rumah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, semalam.

Turut ditahan seorang wanita yang juga teman wanita lelaki itu di dalam bilik rumah berkenaan dalam operasi bermula 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Difahamkan, wanita berusia 34 tahun itu bersembunyi di dalam bilik lelaki itu tanpa pengetahuan ibunya sejak lima hari lalu.

Ketua Operasi AADK Klang, Ezwan Shahrin Saihani berkata, pemeriksaan mendapati pasangan terbabit positif dadah jenis syabu.

“Ketika operasi dijalankan dan pemeriksaan di dalam bilik lelaki berusia 33 tahun itu, anggota terkejut mendapati seorang wanita menyorok di belakang pintu bilik.

“Siasatan mendapati wanita itu tinggal di Flat Sri Perantau dan dipercayai tinggal bersama lelaki itu sejak lima hari lalu untuk menagih dadah,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, operasi turut dijalankan di beberapa kawasan perumahan yang dipercayai menjadi sarang penagih dadah di daerah ini.

“Antara lokasi serbuan adalah di sekitar kuarters KTM, Taman Pendamar Indah dan Kampung Delek.

“Seorang anggota AADK cedera kerana bergelut dengan seorang penagih dadah yang cuba melarikan diri kerana terjatuh ke dalam timbunan sampah,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan berjaya menangkap 17 individu dipercayai terbabit dengan penagihan dadah.

“Pecahan tangkapan iaitu 16 lelaki dan seorang wanita dan semuanya berusia 24 hingga 44 tahun.

“Mereka ditahan dan disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 1:45 PM